Pemulihan Ekonomi Negara Perlu Disegerakan, Bantu Rakyat Bina Semula Kehidupan – Agong

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pemulihan ekonomi negara perlu disegerakan agar Malaysia tidak ketinggalan.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini, Seri Paduka turut menggesa supaya segala urusan rakyat dibantu dan dipermudahkan untuk membina semula kehidupan dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara.

“Melangkah ke hadapan, Beta menyeru kepada sekalian ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah ekonomi Malaysia diunjurkan terus berkembang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022.

“Ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021 setelah mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

“Pemulihan pertumbuhan ekonomi menunjukkan keberkesanan lapan siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion selain peruntukan Bajet 2022 yang telah disediakan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan syabas terhadap kejayaan kerajaan menyediakan sejumlah 558,633 penempatan pekerjaan kepada rakyat berbanding sasaran 500,000 pada 2021.

“Antara petunjuk pemulihan ekonomi termasuklah kadar pengangguran yang semakin berkurangan dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik.

“Bagi tahun 2022 di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyasarkan penyediaan hampir 600,000 peluang pekerjaan,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.