Banjir: Zahid Doakan Mangsa Cekal, Segala Bentuk Bantuan Perlu Disalur

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Kejadian banjir dilaporkan sedang berlaku di beberapa daerah di negeri Pantai Timur dengan beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Kelantan dilaporkan telah ditenggelami air.

Sehubungan itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar semua mangsa cekal dan tabah mengharungi musibah banjir.

“Justeru, segala bentuk bantuan oleh kerajaan perlu disalurkan segera kepada mangsa terlibat. Elakkan insiden menuding jari dalam peristiwa banjir besar di Selangor berulang.

“Paling penting rakyat selamat dan keperluan mereka dipenuhi dan dibantu secukupnya.

“Saya mendoakan agar kesemua mangsa cekal dan tabah mengharungi musibah banjir. Sesungguhnya kita memahami berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kepada Allah kita berserah, semoga dipermudahkan segala urusan kita,” katanya menerusi hantaran di laman facebooknya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengerahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi penyelamat bagi kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan sejak dua hari lalu. – UMNO Online