Tugas Pengerusi MPN Dah Sukses Ke Belum? Ada Hati Nak Jadi Penasihat Ekonomi Johor, Bidas Najib

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mempersoalkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tugas sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adakah sudah menemui kejayaan atau tidak.

Najib memberi respon demikian merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin yang mahu menjadi penasihat ekonomi Johor jika PN menang di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Selain seorang pengkhianat bersiri, rekod dia ialah ramai rakyat bunuh diri, terpaksa naik bendera putih untuk surrender.

“Rekod dia juga ialah pertumbuhan ekonomi Malaysia serta pelaburan asing terjatuh ke paling teruk di ASEAN walaupun dia mengaku telah menghabiskan RM600 bilion dana negara dalam masa yang singkat setelah dia melaksanakan darurat dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) separuh masak antara paling panjang tempohnya di dunia supaya dia tidak ditumbangkan dalam parlimen yang digantungnya (akhirnya tumbang juga sebaik sahaja parlimen dibuka),” kata Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan di dalam Facebook.

Seterusnya tambah Najib berhubung slogan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri iaitu “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi COVID-19”, semakin dilaksanakan darurat semakin tinggi kadar kes.

Begitu juga dengan kadar kematian COVID-19 berbanding jumlah penduduk sehingga menjadi paling tinggi dalam dunia.

“Demi nak kekalkan kuasa, seluruh Malaysia dikurung dan diseksa mereka manakala kilang-kilang besar dan tapak pembinaan yang merupakan penyumbang utama kes COVID masa itu dibenarkan beroperasi pula. Langsung tak masuk akal.

“Tapi dia ada hati lagi Bapa Lockdown Malaysia seorang ini nak jadi penasihat ekonomi Johor jika PN menang PRN?” soalnya.

Untuk rekod, pada 4 Sept tahun lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata Muhyiddin yang juga Presiden PPBM dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.