Siasat Kenyataan Muhyiddin, Mahu Dedah Maklumat Kewangan Negara – Pemuda

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong membuat satu laporan polis ke atas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas kenyataannya yang disiarkan media.

Menurut Ketuanya, Fared Mohd Khaled ianya dilakukan ekoran kenyataan Muhyiddin yang mahu mendedahkan maklumat sulit berhubung status kewangan negara.

“Kenyataan beliau disiarkan di laman sesawang malaysiakini.com/news/611290 paparan bertajuk ‘M’sia hadapi masalah kewangan? – Muhyiddin ikrar akan dedahkan’ yang diterbitkan pada 19 Feb.

“Laporan tersebut adalah berkenaan kenyataan beliau bahawa :- ‘Semalam (17 Feb) saya minta laporan untuk disampaikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul… satu ketika saya akan bocorkan bagaimana kedudukan kewangan negara kita’.

Jelas Fared maklumat kewangan negara adalah berkaitan maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 malah Muhyiddin bukanlah salah seorang daripada menteri Kabinet atau Perdana Menteri yang masih berkuatkuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara

“Tindakan dan kata-kata beliau tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972

“Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut, atau kemungkinan terdapat percubaan untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang yang lain, yang mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada Negara Malaysia,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.