Tuntutan Rakyat Pengeluaran ‘One-off’ KWSP Terus Disuarakan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan beliau telah diminta untuk membentangkan di dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengenai perkara yang melibatkan tuntutan rakyat berkaitan pengeluaran terakhir RM10,000 one-off Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut beliau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah memintanya untuk membentangkan dan sekali lagi ditegaskan bahawa tuntuan rakyat mengenai one-off KWSP kali terakhir itu adalah untuk kelangsungan hidup.

“Dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi malam tadi, saya diminta Datuk Seri Presiden Zahid Hamidi untuk membentangkan mengenai isu tuntutan rakyat agar dibenarkan buat kali terakhir pengeluaran RM10 ribu one-off KWSP.

“Saya menegaskan bahawa rata-rata rakyat amat mengharapkan pengeluaran kali terakhir ini bukannya saja-saja tetapi demi kelangsungan hidup yang mendesak dengan komitmen tertunggak dan hutang keliling pinggang kesan daripada Pandemik COVID-19 yang hakikatnya menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan, dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji apabila PKP berpanjangan yang dilaksanakan Kerajaan terdahulu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Asyraf seterusnya menegaskan perkara yang dituntut rakyat itu adalah selaras dengan Akta KWSp dan MKT juga masih mengekalkan ketetapan mesyuarat lalu agar kerajaan megambil kira keluhan berkenaan.

“Saya juga menegaskan bahawa pengeluaran kali terakhir ini juga bertepatan dengan roh dan semangat Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6) (k)(l)(m) yang menyatakan pengeluar adalah dibenarkan kepada “ahli Kumpulan Wang itu yang memerlukan pembiayaan untuk menambah pendapatannya bagi maksud kelangsungan hidup termasuk akibat kesan Pandemik Covid-19”.

“Justeru, Majlis Kerja Tertinggi malam tadi masih mengekalkan ketetapan mesyuarat terdahulu untuk meminta Kerajaan mengambil kira keluhan dan harapan rakyat untuk pengeluaran kali terakhir ini,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.