Selain COVID, Zahid Minta Hati-hati Penyebaran Varian Baharu ‘Taasub Kluster Mahkamah’

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak berhati-hati dengan COVID-19 yang sudah memunculkan pelbagai varian termasuklah satu lagi varian baharu yang lebih berbahaya, lebih cepat menular dan lebih degil sifatnya.

Namun katanya, ia tidak sedikit pun berkaitan dengan COVID-19 tetapi penyakit hati, namanya varian ‘taasub kepada kluster mahkamah’.

“Sepanjang COVID-19 menggegarkan dunia, kita sudah mendengar kemunculan pelbagai varian. Apha, Beta, Delta dan terkini Omicron.

“Semua itu bahaya. Semua itu harus kita perangi. Dan buat masa sekarang, pengambilan vaksin dan dos penggalak adalah jalan terbaik yang mampu ditawarkan. Saya menyeru semua yang layak untuk mengambil kedua-duanya demi menyelamatkan diri kita dan orang lain.

“Saya tidak begitu risau akan varian-varian COVID-19 ini sebenarnya. Insya-Allah kita sudah mencuba yang terbaik. Kini adalah masa bertawakal. Tetapi, ramai tidak sedar. Sebenarnya dalam negara kita ini, sudah muncul satu varian baharu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebookny.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ini bukan varian dari virus yang disebarkan oleh penyakit fizikal. Tetapi penyakit hati.

“Namanya varian ‘taasub kepada kluster mahkamah’. Simptomnya mudah. Setiap hari mereka akan meratib, kluster mahkamah, kluster mahkamah dan kluster mahkamah.

“Apa-apa sahaja isu di negara kita ini, puncanya kluster mahkamah. PH tumbang, kluster mahkamah. PRN Sabah, kluster mahkamah. PRN Melaka, kluster mahkamah, dan sudah pastilah, PRN Johor, kluster mahkamah.”

Ujarnya, hampir tidak ada masalah dalam negara ini yang bukan berpunca dari kluster mahkamah.

“Selepas saya mempertikaikan peranan dan kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Pengerusi MPN yang tampak tidak berbuat apa-apa bagi memulihkan negara, kini seterunya Tun Mahathir dari Pejuang mengutip sifir yang sama – bahawa PRN Johor adalah demi kepentingan kluster mahkamah.

“Walaupun pada hakikatnya, tidak ada seorang dari pemimpin UMNO yang dilabel kluster mahkamah ini yang bertanding di Johor dan walaupun semua mereka yang dilabelkan kluster mahkamah ini mengambil pendekatan menyerahkan semuanya kepada mahkamah.

“Barangkali kerana saya dan rakan turun ke Johor, jadi kerana itulah naratif ini diulang-ulang. Atau barangkali ini cara Tun Mahathir sebenarnya mahu menempelak secara halus wakil kluster mahkamah dari MUDA, YB Syed Saddiq yang turut menjual naratif mahu menyelamatkan Malaysia bermula dengan Johor. Bak kata orang dulu-dulu, pukul anak sindir menantu.”

Katanya, pada mereka yang dijangkiti varian baharu ini, apa-apa sahaja yang berlaku di Johor adalah cerminan kepada apa yang akan berlaku di peringkat pusat.

“Walaupun agak tidak logik dan tidak matang, tetapi naratif ini mudah disebarkan.

“Warga bangsa Johor, kalian harus berasa bangga. Bangsa Johor sedang diangkat sebagai gerbang politik dan masa depan Malaysia. Pastikan kita memilih kestabilan di Johor dengan terus bersama BN.

“Jadikanlah PRN Mac nanti, satu ‘suntikan vaksin’ dan dos penggalak yang akan menyembuhkan varian politik baharu ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.