Terus Istiqamah… Puteri UMNO Sabah Akan Terus Perkasa Mendepani Cabaran – Fadilah

KOTA KINABALU, 16 Feb – Puteri UMNO Sabah akan terus memperkasakan gerakan termasuklah memastikan cabaran yang mendatang dapat dilalui sebaik mungkin khususnya kedatangan pengundi baharu termasuklah undi 18 dan sebagainya.

Ketua Puteri UMNO Sabah, Datuk Fadilah Sarbi berkata kehadiran pengundi baharu bukan hanya sekadar ditempuhi UMNO malah parti-parti lain akan turut berdepan dengan perkara berkenaan dan sudah pasti pelbagai pendekatan akan dirancang serta dilaksanakan dalam menghadapi landskap politik baharu berkenaan.

“Gerak kerja Puteri UMNO akan berterusan dan ditambah pula dengan undi 18…begitu juga dengan kehadiran pengundi automatik. Benda-benda ini yang akan kita lihat sebagai penanda aras untuk pilihan raya akan datang dan tidak ada lagi teori dan praktikal tetapi sebagai jentera atau komponen parti, Puteri UMNO akan terus bergerak seiring dengan perkembangan semasa.

“Umumnya undi 18 dan automatik ini bukan sahaja akan dihadapi oleh UMNO malah parti-parti lain juga akan menghadapinya. Di peringkat Puteri UMNO kami menggariskan tiga cabaran pertamanya lepasan SPM, keduanya lepasan universiti dan seterusnya bagi golongan ‘establish’. Ini adalah tiga golongan muda yang perlu diambil perhatian dan undi ini adalah milik semua,” katanya kepada UMNO-Online.

Fadilah yang juga Ketua Puteri UMNO Sepanggar seterusnya melahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan dan ahli parti khususnya pergerakan itu yang tetap setia ketika senang dan saat semasa susah.

“Apa pun terjadi parti ini UMNO telah diuji berulang kali bukan sahaja ketika kalah malah ketika menang. Secara umumnya UMNO di Sabah berdepan detik sukar. Walau bagaimanapun detik sukar itu dapat diatasi dengan istiqamah pemimpin-pemimpin yang ada dan seterusnya kali ini ujian yang dikatakan sebelum ini iaitu ujian setelah kemenangan.

“Bagi Puteri UMNO Sabah, ketika susah dahulu kepimpinan tidak berubah sebenarnya apabila hanya lapan Ketua Puteri UMNO yang berganjak manakala yang lain masih kekal dan bersama UMNO.

“Kepimpinan Puteri UMNO daripada pembangkang hinggalah ke zaman sebahagian separa kerajaan tetap optimis dan istiqamah dalam perjuangan dan akan terus membawa cita-cita dan matlamat parti iaitu memenangi pilihan raya akan datang,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.