Najib Saran Benarkan Pengeluaran Terakhir i-Citra Selepas Pemberian Dividen KWSP 2021

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berpendapat masa yang paling tepat bagi kerajaan membenarkan pengeluaran khas kali terakhir i-Citra bagi ahli yang terjejas ialah selepas dividen 2021 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibayar kepada pencarum tidak lama lagi dan sebelum hari raya.

Katanya, dengan sokongan yang diumum Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari semalam, beliau lebih optimis bahawa menteri-menteri PN akhirnya tidak lagi membantah tetapi akan menyokong permintaan pengeluaran khas ini dan ianya akan menjadi realiti.

“Harap ketua pemuda PN/PAS seorang ini akan berusaha untuk memujuk presiden PPBM dan PAS serta menteri-menteri PN bagi memberi sokongan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, biarpun prestasi Bursa Malaysia antara paling teruk dalam dunia bagi tahun 2021 lepas akibat darurat menggantung Parlimen serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak berbulan-bulan lamanya, ketidakstabilan politik dan aliran keluar dana asing yang sangat besar sejak PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun prestasi bursa saham negara-negara lain adalah luar biasa baik dan telah berulang kali mencatat paras tertinggi dalam sejarah.

“Jadi, prestasi KWSP bagi tahun 2021 lepas adalah lebih baik sebab pelaburan luar negara tabung itu terutamanya di Amerika Syarikat mendapat pulangan yang sangat baik.

“Walaupun ianya masih rendah berbanding kadar 6.9% bagi dividen tahun 2017 sebelum ekonomi merudum selepas PRU-14, ramalan dividen antara 5.2% hingga 6% bagi tahun lepas masih pada kadar yang baik,” katanya.

Dahulu ujarnya lagi, ramai yang kecam beliau kerana pernah membuat kenyataan bahawa KWSP mahu membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan bukan hanya di Malaysia ketika membuat lawatan ke atas Presiden negara berkenaan.

Di dalam media sosialnya itu juga Najib melampirkan graf yang menunjukkan prestasi Bursa Malaysia berbanding bursa saham negara asing bagi tahun 2021. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.