Johor Mempunyai Pengaruh Kuat (Pyche) Malaysia – Rahman

Sebagai sebuah negeri yang besar dan maju, Johor mempunyai pengaruh yang kuat terhadap jiwa (pysche) Malaysia. Orang kata:

Jika Johor bersin, Malaysia demam.
Jika Johor sakit, Malaysia nazak.
Jika Johor sihat, Malaysia cerdas.
Jika Johor stabil, Malaysia makmur.
Dan bila tiba Johor sendawa, maknanya seluruh Malaysia telah merasa kekenyangan rezeki.

Begitulah faktanya. Johor Darul Takzim adalah nadi dan jantung kepada ekonomi negara. Keberadaan Johor yang begitu strategik terutamanya jarak dekat ke Singapura menjadikan Johor sebagai salah satu penanda aras penting kepada ekonomi Malaysia.

Berdekad-dekad lamanya Barisan Nasional, dengan cermat dan teliti, telah memupuk, memelihara dan menggendong ekonomi Johor sehingga Johor menjadi harimau ekonomi Malaysia.

Sejak merdeka sehingga 2018, kita dapat melihat bagaimana Barisan Nasional telah menyusun langkah secara teratur dan strategik dalam membangunkan ekonomi Johor sehingga terujudlah pelbagai program ekonomi, kecil dan besar, hasil ilham Barisan Nasional yang menghasilkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bangsa Johor.

Buktinya saiz ekonomi Johor (KDNK/GDP) pada tahun 2010 adalah RM74 bilion dan dalam waktu sesingkat 8 tahun kemudian Barisan Nasional telah melonjakan saiz ekonomi Johor hampir dua kali ganda ke RM130 bilion pada tahun 2018. Sejak 2019 sehingga kini, saiz ekonomi Johor tidak banyak berubah.

Begitu juga dari tahun 2013 hingga 2018, nilai kelulusan projek perkilangan (pembuatan) di Johor adalah RM145 bilion atau 35% dari keseluruhan RM408 bilion yang diluluskan di seluruh negara. Ini adalah peratusan tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Dan yang memberi kepuasan hati, hampir 80% pelaburan itu adalah pelaburan dari luar negara. Begitulah hebatnya Johor di mata pelabur asing pada satu ketika dulu!

Sebelum 2018, kerajaan Barisan Nasional di pusat dan negeri Johor bukan sahaja menyusun projek kecil, sederhana dan besar di Johor tetapi telah mengujudkan platform khusus seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai peneraju dan pemangkin kepada projek-projek berimpak tinggi di Johor.

Barisan Nasional juga telah mengarahkan agensi pusat (central agencies) seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri untuk menjalin kerjasama erat antara pusat dan negeri disamping menggalakkan pihak swasta memainkan peranan besar dalam pembangunan Johor.

Maka ujudlah projek-projek besar antara lainnya:

(1) Keretapi Berkelajuan Tinggi (High Speed Rail) dari Singapura ke Kuala Lumpur yang akan melalui tiga stesen di Johor (Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar) dari 7 stesen yang dirancang di Malaysia.

(2) Rapid Transit System (RTS) yang akan menghubungkan sistem MRT Singapura ke Johor Bahru. Bangsa Johor tidak perlu lagi menghabiskan masa melalui kesesakan di Tambak Johor dan Jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

(3) Refinery and Petrochemical Integrated Develeopment (RAPID) yang menyaksikan pelaburan USD7 bilion (RM31 bilion) oleh syarikat gergasi minyak negara Arab Saudi ARMCO. RAPID adalah sebahagian daripada projek mega Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Johor yang diilhamkan oleh Barisan Nasional dan dijangka menerima pelaburan USD27 bilion apabila siap sepenuhnya nanti.

(4) Pembangunan hartanah bertaraf antarabangsa di Iskandar Puteri, Forrest City dan Desaru Coast.
Kesemua ini akan menjana ekonomi dan pekerjaan kepada bangsa Johor. Begitulah tersusunnya perancangan ekonomi Barisan Nasional di negeri Johor.

Saya teringat perbualan santai dengan sahabat lama saya Pesuruhjaya Besar Singapura ke Malaysia baru-baru ini. Beliau berkata pelabur dari Singapura masih berminat untuk melabur di negeri Johor tetapi mereka juga dahagakan kestabilan politik dikembalikan di Malaysia terutamanya di negeri Johor.

Inilah realiti atau persoalan yang perlu difikir dan ditimbang oleh bangsa Johor dalam PRN Johor nanti.

Bangsa Johor perlu membantu Menteri Besar YAB Datuk Seri Utama Ir Hj Hasni Bin Mohammad untuk mengembalikan kestabilan politik negeri Johor dengan memberi mandat besar kepada Barisan Nasional.

Kemenangan dengan majoriti yang selesa bukan untuk bermegah tetapi akan membolehkan beliau membuat perancangan ekonomi dan pembangunan jangka panjang untuk Johor tanpa tekanan dan ugutan politik sepanjang masa.

Bangsa Johor perlu membuat keputusan nekad, sama ada negeri Johor bakal ditadbir oleh sebuah parti yang mempunyai rekod pembangunan dan kestabilan politik yang sudah terbukti, atau parti yang mengulangi janji bulan dan bintang yang ternyata telah gagal dan berbohong seperti PRU14 yang lalu.

Pihak lawan sering mendabik dada kononnya mereka mahu menyelamatkan Johor. Memang Johor perlu diselamatkan, tetapi diselamatkan dari cengkaman kepincangan dan kepalsuan janji mereka.

Barisan Nasional tegas dan konsisten menyatakan bahawa isu asas dalam PRN Johor ialah mengembalikan kestabilan politik Johor untuk melahirkan semula suasana aman dan kondusif bagi memacu ekonomi dan kesejahteraan bangsa Johor.
PRN Johor bukan masa untuk membuat eksperimen kerana kemusnahan ekonomi, kecelaruan politik dan ketiadaan agenda kebajikan rakyat yang dihadapi oleh bangsa Johor adalah benar dan nyata.

Cabaran yang cukup berat ini tidak boleh ditangani hanya dengan air liur dan retorik semata-mata. Seperti di negeri lain, bangsa Johor telah membayar harga yang terlalu tinggi dalam PRU14 bila ada yang terpengaruh untuk membuat eksperimen dan memilih parti yang tidak mempunyai pengalaman dan visi dalam mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat.

Justeru dalam PRN Johor ini, Barisan Nasional akan mempertaruhkan kepakaran dan pengalamannya dalam merancang ekonomi dan pembangunan negeri Johor demi kemakmuran bangsa Johor.

Sudah tentu agenda utama Barisan Nasional ialah untuk memulihkan ekonomi negeri dan memperbaiki ekonomi rakyat dengan memperbanyakkan peluang pelaburan, perniagaan dan pekerjaaan. Pendek kata, Barisan Nasional akan berkerja kuat untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi negeri Johor seperti sebelum 2018.

Barisan Nasional tidak berminat untuk bermain dengan harapan palsu kerana kami menginsafi yang menjadi gadaian dalam PRN Johor adalah masa depan dan kelangsungan kehidupan bangsa Johor itu sendiri. Ini bukan perkara remeh yang boleh diulit dengan janji-janji palsu atau disulat dengan omongan kosong tahap dewa! Ia menuntut kerja kuat, perancangan sistematik dan iltizam kepimpinan yang berasaskan kepada pengalaman dan kepakaran yang dipelajari berdekad lamanya.

Barisan Nasional, dengan rendah hati dan rasa hormat, merasa cukup yakin dengan kebijaksanaan bangsa Johor untuk memilih yang terbaik untuk masa depan anak cucu mereka.

Sesungguhnya mantra “KESTABILAN DEMI KEMAKMURAN” yang dibawa oleh Barisan Nasional adalah slogan yang berpijak di bumi nyata, berlapikkan realiti sebenar dan disederhanakan oleh pengalaman puluhan tahun dalam mengangkat darjat maruah dan ekonomi negeri Johor.

Jumpa di PRN Johor nanti. InsyaAllah.

Abdul Rahman Dahlan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
14 Jan 2022