UMNO Dukung GRS, Tetapi BN Tetap Jadi Keutamaan – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU, 12 Feb – UMNO memberi dukungan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus kekal menerajui Kerajaan Sabah, namun parti itu tetap meletakkan Barisan Nasional (BN) sebagai keutamaan, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Keutamaan sebagai parti komponenan dalam BN itu akan terus dikekalkan, begitu juga Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), mereka juga parti komponen BN, jadi itu harus digariskan bukan sebagai satu prinsip konvensional, tetapi itu perkara yang termaktub dalam perlembagaan BN sendiri,” katanya yang juga Presiden UMNO.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan tri-tahunan kali ketiga PBRS di sini hari ini.

Katanya kerjasama dalam GRS juga akan diteliti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti, dengan mengambil kira pandangan daripada parti-parti komponen lain termasuk BN Sabah sendiri, kerana landskap politik Sabah berbeza daripada negeri-negeri lain.

Ahmad Zahid berkata yang paling penting, parti-parti dalam komponen BN perlu memenangkan calon masing-masing untuk membentuk kerajaan.

GRS adalah terdiri daripada beberapa gabungan iaitu Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Pas), BN (UMNO, MIC, MCA, dan PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, mengulas mengenai calon BN yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac depan, Ahmad Zahid berkata senarai nama itu selewatnya-lewatnya akan diumumkan pada 26 Feb ini.

Katanya perkara itu beliau diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya negeri Johor dan Ketua Penyelaras Pilihan Raya untuk mengumumkannya, selepas perundingan dengan semua parti-parti komponen diadakan dan latar belakang calon-calon berkenaan diteliti serta layak untuk bertanding.

Mengenai persidangan PBRS, Ahmad Zahid yakin parti itu bukan lagi dianggap sebagai parti politik kecil sebaliknya mempunyai peranan besar dan penting.

Tambahnya, ia bukan sahaja untuk landskap politik Sabah tetapi juga secara keseluruhannya, apabila ramai pemimpin lain menyertai parti berkenaan yang kini mempunyai kira-kira 90,000 ahli.

Sementara itu, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup berkata selaku parti komponen BN, PBRS memohon dan mencadangkan beberapa perkara untuk dipertimbangkan, antaranya diberikan jawatan senator, mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, selain membantu mengatasi kenaikan harga barang.

Beliau berkata PBRS juga berharap agar diberi peluang untuk bertanding di beberapa kawasan yang diyakini boleh dimenangi oleh parti itu pada mana-mana pilihan raya akan datang, tertakluk kepada perbincangan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.