Kita Akan Terus Kukuhkan UMNO Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 12 Feb – Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan mereka akan terus berusaha untuk terus mengukuhkan kedudukan parti itu di negeri berkenaan.

Berucap pada majlis makan tengahari dan ramah mesra bersama pimpinan UMNO negeri semalam, Bung Moktar menegaskan dalam senario hari ini iaitu jumlah pengundi terus meningkat khususnya pengundi muda yang pertama kali mendaftar sebagai pengundi, sudah pasti pelbagai cabaran akan dihadapi kelak.

“UMNO Sabah akan terus berusaha perkukuhkan kedudukan. Untuk menang kena buat cara untuk menang dan kita akan dihidangkan dengan ratusan ribu pengundi muda yang kita tidak tahu ke mana lagi hala tuju mereka.

“Bagaimana kita boleh menambat hati anak muda dan bukan sahaja menyantuni jiwa mereka malah kita kena ketahui denyut perut mereka. Kalau perut rakyat dijaga, rakyat akan balas balik atas tindakan yang kita laksanakan,” katanya.

Majlis makan tengahari turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan UMNO yang lain.

Tambah Bung Moktar lagi jika parti kuat maka sudah tentu agenda untuk memperkasakan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Kita mampu bertahan dengan apa jua cabaran. Malah hari ini kita dapat lihat parti telah terbukti dalam membangunkan negeri dan negara kita.

“Yakinlah dengan UMNO… apa pun kita semua perlu tetap yakin dengan apa yang kita perjuangkan… dalam perjuangan perlu ada keyakinan,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.