Kedatangan Ahmad Zahid Suntik Semangat UMNO Dan BN Sabah

KOTA KINABALU, 12 Feb – Kunjungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ke Sabah yang berakhir petang tadi bukan sahaja memberikan semangat kepada pimpinan UMNO malah memperkukuhkan lagi BN negeri berkenaan.

Selain ramah mesra bersama pimpinan UMNO negeri semalam, disusuli dengan mesyuarat BN Sabah serta perasmian persidangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pagi tadi, kedatangan pimpinan tertinggi parti sememangnya dinantikan.

Semalam Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat BN Sabah yang turut dihadiri Pengerusi BN negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan ketua-ketua parti kompenan BN Sabah.

Mesyuarat yang berlangsung di Bangunan UMNO negeri membincangkan pelbagai isu semasa terutamanya memperkukuhkan BN Sabah bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 15 yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, perjumpaan berkenaan merupakan perjumpaan biasa dan ianya lebih menjurus kepada perbincangan mengenai isu-isu semasa selain persediaan jentera BN/UMNO Sabah untuk menghadapi PRU ke-15 akan datang.

“Mesyuarat biasa sahaja dan perbincangan lebih tertumpu kepada isu-isu semasa selain perbincangan mengenai persediaan jentera BN khususnya di Sabah bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Bung Moktar turut mengingatkan agar semua kepimpinan BN/UMNO di negeri ini berada dalam kesiapsagaan untuk menghadapi PRU ke-15 akan datang.

Katanya, persediaan jentera perlu dibuat lebih awal dan tidak menunggu saat-saat akhir atau menunggu pembubaran Parlimen barulah jentera digerakkan.

“Apabila kita sudah bersedia apa saja kemungkinan kita boleh laksanakan katanya,” katanya.

Kata beliau lagi, UMNO tidak menghadapi kesukaran untuk memperkukuhkan jentera parti sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing masing.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.