BN Seiring Realiti Landskap Politik Semasa, Kerja Keras Untuk Kemenangan – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU, 12 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata landskap politik hari ini telah berubah dan seiring dengan itu pelbagai pendekatan perlu menyusuli perubahan tersebut.

Menurut beliau pengundi automatik yang akan meningkatkan jumlah pemilih seluruh negara sudah tentu memerlukan tindakan proaktif dalam usaha memastikan BN terus mendapat kepercayaan.

“Landskap politik telah berubah dengan pengundi automatik dan juga pengundi baharu. Jumlah pengundi akan bertambah dan ini realiti politik baharu yang kita harus hadapi.

“Kita mesti gunakan pendekatan baharu. komunikasi tanpa lisan perlu diubah. Walaupun ceramah kumpulan kecil dan juga kempen rumah ke rumah masih boleh dilakukan tetapi penggunaan komunikasi baharu amat penting untuk dilaksanakan.

“Realiti politik baharu harus diterima dan disesuaikan dengan kandungan untuk disajikan sebagai hidangan generasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demijian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Annual Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di sini hari ini.

Turut serta Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan wakil-wakil parti komponen BN yang lain.

Dalam ucapan yang sama Ahmad Zahid turut melontarkan keyakinan bahawa BN akan bangkit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kata beliau kerjasama yang utuh dan ikhlas antara parti-parti komponen serta rakan-rakan gabungan yang lain membolehkan pembelaan terhadap rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin apabila diberi kepercayaan nanti.

“Jangan ada tikam-menikam baik belakang, depan, atas dan bawah antara kita. Kita perlu bekerja keras dan bijaksana untuk tentukan kemenangan BN nanti.

“Kita perlu pastikan hasrat rakyat yang mahu lihat BN bangkit semula dan membela mereka sepertimana rekod sebelum ini. Azam kita BN akan menjadi dominan dan perkasa semula dalam PRU 15… tetapi tidak ada kejayaan datang bergolek. Semangat perkasa dan penyatuan di dalam komponen BN perlu sama-sama kita tingkatkan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dalam ucapannya berkata parti berkenaan merupakan parti tempatan dan berbilang kaum tanpa mengira bangsa, keturunan serta agama.

Kata beliau ianya telah terbukti dan terus berpegang teguh kepada perlembagaan secara jujur, ikhlas dan konsisten.

“Hingga ke hari ini parti kita terus mendapat sambutan. Rakyat telah kembalikan kepercayaan mereka terhadap BN.

“Setelah merasai pentadbiran PH (Pakatan Harapan) dengan 1,001 macam janji menjelang PRU dahulu… rakyat Sabah sedar kena tipu atas janji mereka. Maka atas kesedaran ini mereka kembalikan keyakinan dan masa depan mereka adalah dibawah naungan BN,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.