Amat Kasar Dan Tidak Berfakta, Tuduh UMNO Asabiyyah Ketika Hampiri PRN

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan segelintir pihak yang menuduh UMNO menolak perpaduan hanya kerana enggan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut menggambarkan tohmahan asabiyyah terhadap UMNO ketika menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu amat kasar dan tidak berfakta.

“Kita faham mereka sebenarnya kecewa UMNO tidak menuruti kehendak mereka supaya bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Fakta sebenar adalah UMNO tidak pernah menolak perpaduan yang jujur, ikhlas dan sejati.

“Sejak sekian lama UMNO bersama parti komponen BN berpadu dan bekerjasama mentadbir negara ini. Apakah itu bukan perpaduan? Sedangkan lawan BN yang telah beberapa kali konon menjalin perpaduan sesama mereka tidak pernah berkesudahan dengan baik.

“Angkara tiada kejujuran dan keikhlasan kerana rakuskan kuasa dan kedudukan semata-mata. Dalam kerjasama politik tidak boleh membuta tuli. Kerjasama perlu mempunyai persefahaman dan kesepakatan yang jelas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi BN itu juga mereka yang membuat dakwaan itu juga mungkin terlupa bahawa UMNO salah sebuah parti komponen BN yang merupakan sebuah gabungan parti politik yang dibarisi parti politik daripada pelbagai kaum dan agama.

“Berpuluh tahun UMNO, MCA, MIC serta parti komponen lainnya bersama mentadbir Malaysia apakah itu asabiyyah? Selama kerajaan BN mentadbir negara apakah wujud unsur asabiyyah tatkala rakyatnya hidup aman dan makmur?” soal beliau.

Ahmad Zahid juga memberikan sebab utama UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu iaitu kerana ketidakjujuran parti itu yang bermuslihat menamatkan UMNO.

“Malah banyak perlakuan Bersatu yang jelas menunjukkan agendanya terhadap UMNO disebalik propaganda perpaduan. Kesimpulannya, tiada siapa cuba memperbodohkan sesiapa dalam perkara tersebut.

“Sebaliknya hanyalah kemampuan UMNO dalam menilai risk and threat serta cost and benefit. Perpaduan mestilah terbina atas semangat persefahaman yang jitu untuk rakyat, bukan kerana kepentingan tersendiri,” tegas beliau. – UMNO Online