Kerajaan Selangor Realiti Kegagalan PH Mentadbir, Utama Kepentingan Sendiri – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain berkata rakyat di Selangor semakin muak dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu yang disifatkan sebagai gagal mentadbir meskipun sudah memimpin selama tiga penggal namun tidak berjaya memenuhi keperluan rakyat.

Katanya, pelbagai dasar dilakukan ada kepincangan berlaku dan realitinya pimpinan PH memerintah Selangor ini bukan untuk kepentingan rakyat tapi hanya melakukan demi kepentingan sendiri.

“Pentadbiran Kerajaan dilihat tiada pelan tindakan yang konkrit bagi menangani masalah air yang membelanggu rakyat Selangor dan hanya tahu berbelanja besar tapi kesannya tidak ke mana.

“Selangor mempunyai penduduk paling padat di Malaysia dan begitu banyak industri ekonomi, jadi bila bekalan air mengalami gangguan, bukan sahaja penduduk malahan peniaga-peniaga dan pemain industri yang lain juga turut sama terkesan.

“Kegagalan Kerajaan Selangor menangani krisis air dengan baik sehingga mengakibatkan jutaan rakyat di negeri ini terkesan dan masalah ini semakin teruk dari tahun ke tahun,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Jelasnya, sebagaimana rakyat maklum, Kerajaan negeri membeli Air Selangor dengan membelanjakan kira-kira RM2.2 bilion tetapi masalah air tetap membelenggu rakyat, malah, baru-baru ini pula masalah banjir yang gagal ditangani dengan baik sehingga mengakibatkan jumlah kematian dan kerosakan harta benda yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Kegagalan ini begitu ketara sekali sehingga parti yang mentadbir negeri Selangor sendiri menggesa kerajaan negeri mengadakan pendengaran awam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi mencari punca kegagalan negeri itu menangani bencana banjir.

“Tapi malangnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari masih lagi cuba menyembunyikan kegagalan beliau dengan cara menyalahkan kerajaan pusat sedangkan aset-aset agensi kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), anak syarikat kerajaan negeri dan lain-lain pihak berkaitan tidak digerakkan dengan segera untuk membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir terlibat.

“Malah bot-bot milik Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) langsung tidak digerakkan. Adakah kesemua agensi kerajaan negeri tersebut memerlukan persetujuan dan arahan kerajaan pusat sedangkan amat jelas ianya berada di bawah kuasa kerajaan negeri. Inilah contoh kegagalan yang nyata setelah lebih sedekad PH memerintah negeri Selangor,” ujarnya.

Kata Mohd Zaidi lagi, semasa negara dikejutkan dengan wabak COVID- 19, Negeri Selangor mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi kes positif COVID-19 dan terus mencatatkan jumlah tinggi setiap hari di Malaysia.

Jelas beliau, namun masih tiada langkah dan cadangan yang berkesan daripada Jawatankuasa Task Force COVID-19 Selangor bagi membantu mengurangkan penularan virus itu dalam kalangan rakyat Selangor.

“Walaupun umum telah mengetahui dan telah mengenalpasti bahawa punca utama jangkitan virus ini adalah daripada sektor perkilangan tetapi masih ada lagi dibenarkan beroperasi.

“Sekali lagi kerajaan Selangor menyalahkan kerajaan Pusat yang menyebabkan kilang-kilang tidak dapat ditutup seolah-olah kerajaan Selangor tidak ada bidang kuasa apa-apa untuk menangani krisis yang dihadapi di negeri sendiri.

“Semuanya hendak tunggu arahan dan keputusan Pusat baru hendak bertindak. Jika begitulah cara kerjaan PH mentadbir Selangor eloklah kerajaan ini dikembalikan semula kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir agar kebajikan dan ekonomi rakyat dan negeri kembali terbela,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.