BN Satu-satunya Gabungan Parti Politik Paling Stabil Dan Muafakat – Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Barisan Nasional (BN) satu-satunya gabungan parti politik paling stabil dan bermuafakat untuk mentadbir negara dulu, kini dan selamanya, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menguatkan perkara itu, beliau berkata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan kelak, lawan BN masih kekalutan, haru-biru, kacau-bilau sehingga perihal kerjasama, poster boy dan penggunaan logo masih berbalah.

“Kestabilan telah pun dikembalikan di Melaka pada PRN November lalu dan kini peluang bangsa Johor melakukan keberanian yang sama.

“Berdasarkan pengalaman lalu, satu-satunya gabungan politik yang terbukti berupaya membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara hanyalah BN.

“Kestabilan berlaku apabila negara ditadbir oleh sebuah gabungan politik yang mutlak dan dominan seperti yang kita semua pernah nikmati sebelum peristiwa hitam 9 Mei 2018 melanda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Presiden UMNO itu lagi pada ketika itu sebilangan rakyat bereksperimen menyerahkan pentadbiran negara kepada kerajaan 22 bulan, tetapi terbukti ia akhirnya mengundang kegagalan dan ketidakstabilan.

“Gagal dan tidak stabil dalam banyak perkara ekonomi, pendidikan, kesihatan, pembangunan, perdagangan sehingga mengundang kesusahan bertimpa-timpa kepada rakyat.

“Kemudian negara mencuba sebuah kerajaan gabungan wakil rakyat pelbagai parti politik selama 17 bulan juga mengundang ketidakstabilan yang memeritkan,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahud lagi selepas beberapa pertukaran dalam kepimpinan terbukti dengan jelas rakyatmendambahkan sebuah kestabilan yang jitu kerana tanpa kestabilan negara jadi gagal, tidak lagi makmur dan sentosa.

“Paling derita akibat implikasi buruk ketidakstabilan adalah rakyat, justeru rakyatlah paling berhak diberi kuasa untuk mengembalikan dan menentukan kestabilan negara mengikut lunas yang sah.

“Mengembalikan kestabilan harus bersandarkan pengajaran lalu kerana pengalaman sepatutnya mendewasakan insan. Baik jadikan teladan, buruk jadikan sempadan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.