PRN Johor: Optimis Sokongan Untuk BN, Perjuangan Bela Rakyat Diteruskan – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 4 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan optimis sokongan rakyat akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.

Katanya, ini kerana ianya dilihat berdasarkan kunjungan ke beberapa UMNO bahagian yang dilakukan beliau semalam di Mersing, Kota Tinggi, Tebrau dan Tenggara.

“Moga kita kekal menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Tenggaroh, Sedili, Johor Lama, Panti dan Pasir Raja.

“Moga kita berjaya menawan Puteri Wangsa, Tiram, Panti dan Pasir Raja.

“Insya-Allah dengan kestabilan kita beroleh kemakmuran. Perjuangan membela rakyat dimantapkan. Pendidikan, kemahiran, pekerjaan, perniagaan, perumahan ditambah,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dijadual meneruskan lawatan ke UMNO Bahagian Kulai dan Pengerang hari ini sebelum ke Ledang, Muar dan Bakri pada esok.

Terdahulu dilaporkan, pada 22 Jan lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui BN dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.