Penting Jalinan Erat Pemimpin Masyarakat Dan Agensi Kerajaan – Mutalif

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Situasi semasa rakyat memerlukan kerjasama yang erat di antara kepimpinan masyarakat dan agensi kerajaan, kata Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya,Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Namun jelas beliau lagi asas yang paling penting adalah setiap lapisan masyarakat mengetahui peranan masing-masing dalam memperkukuh nilai kefahaman.

“Pada masa sekarang ini keperluan bagi merapatkan ukhuwah antara pemimpin masyarakat dan juga agensi kerajaan amatlah diperlukan.

“Malah yang penting akar umbi dan masyarakat perlu tahu peranan masing-masing. Baik di peringkat parti, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun kerajaan,” katanya.

Baliau berkata demikian melalui hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Kemas Parlimen Petaling Jaya yang berlangsung baru-baru ini.

Sementara itu, beliau juga berharap hubungan yang dijalin UMNO bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dapat dieratkan seperti sebelumnya bagi memperkasakan agenda kemakmuran dalam kalangan rakyat.

“Alhamdulillah… agak lama juga tidak dijemput tetapi selama ini Kemas dengan saya dan juga UMNO Bahagian Petaling Jaya sudah lama menjalinkan kerjasama. Tahniah atas penganjuran semoga Kemas terus maju jaya di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid,” ujar beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob memaklumkan golongan pendidik seperti guru dan petugas Kemas kini dibenarkan bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.

Jelas beliau perkara tersebut telah dibincangkan secara mendalam dan Kabinet sudah memutuskan untuk memberi kebenaran itu sebagai menghormati semangat demokrasi di negara ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.