Kestabilan Politik Jadi Keutamaan Demi Kesejahteraan Rakyat – PM

BERA, 30 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan kestabilan politik perlu diutamakan pada masa ini demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Kestabilan politik itu, menurut Ismail Sabri juga penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan semua perancangan yang telah dan sedang dibuat untuk membantu rakyat dalam situasi sukar akibat pandemik COVID-19.

“Jika ada yang menarik sokongan, betul kerajaan akan tumbang. Itu adalah fakta. Kalau Perikatan Nasional (PN) malah sesiapa juga termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau dalam kalangan UMNO sendiri menarik sokongan akan menyebabkan kerajaan tumbang kerana kita hanya ada kelebihan empat kerusi.

“Tapi saya percaya kestabilan politik yang penting. Jika timbul perkara seperti ini, politik kita kembali bergolak dan ekonomi juga akan terjejas akibat tindakan itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas Monsun Timur Laut 2021/2022 sebanyak RM2,500 kepada setiap 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan media berkata bahawa sokongan parti itu bersama PAS terhadap kerajaan adalah bersyarat.

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berpandangan perkara itu perlu ditentukan oleh parti dan tidak menolak kemungkinan presiden parti-parti terlibat untuk duduk berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama. – BERNAMA