Parti Yang Cuba Ciplak UMNO Kini Bergelut Defisit Keyakinan

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya.

Jelasnya, parti politik yang cuba menyamai UMNO untuk memperdaya sokongan pengundi hanyalah bayangan semata-mata, tidak ‘real’ dan palsu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berikutan laporan media menyebut beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti bunga di Johor mahu keluar parti dan menyertai semula UMNO.

Dalam hal ini katanya, kesahihan berhubung perkara itu pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan, namun jikalah benar ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.

“Parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri.

“Maka apakah rasional dan kewajarannya untuk rakyat pula diminta supaya meyakini parti tersebut sedangkan sebahagian pimpinan akar umbinya tidak?

“Sebenarnya itulah perbezaan ketara antara sesuatu yang tulin dan tiruan, autentik dan rekaan. Pastinya yang original adalah berkualiti berbanding ciplak.”

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara telah begitu lama disemat dalam parti ini dan ia asli, bukan retorik atau cuma agitasi politik.

“Bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru,” katanya lagi. – UMNO Online