PRN Johor: Pemuda UMNO Bersedia Dengan Sebarang Kemungkinan – Shahril Hamdan

DURIAN TUNGGAL, 22 Jan – Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat, semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Ketua Penerangan UMNO merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata sekiranya berlaku dalam masa terdekat Pemuda UMNO sentiasa bersiap sedia bagi menghadapinya.

“Sudah tentu semuanya bergantung kepada perkenan  Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan apa saja keputusan yang ditentukan dan Pemuda UMNO dalam mood stand by sekiranya PRN Johor diadakan.

“PRN Johor diadakan  bagi mengembali kestabilan politik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan semua parti termasuk UMNO/BN akan bersiap sedia dan mood kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka lalu dapat diterjemahkan pada PRN Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penerangan bersama Pemuda UMNO Simpang Renggam, semalam. Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Simpang Renggam, Muhammad Faizal Mat Said bersama jawatankuasa Pemuda UMNO Simpang Renggam, di sini.

Tambah Shahril, pada PRN Melaka ianya memberikan satu suntikan semangat dan keyakinan kepada UMNO/BN bahawa pemimpin-pemimpin muda adalah salah satu formula yang terbaik.

“Saya yakin kepimpinan UMNO Johor dan juga kepimpinan UMNO Malaysia, kedua-duanya akan duduk berbincang mencari formula yang terbaik dan sudah tentu ramuan yang dibentuk pada kali ini tidak 100 peratus sama.

“Formula mengetengahkan calon pemimpin muda dapat menarik pengundi-pengundi dan  akan pastikan bukan hanya formula itu betul tapi gerak kerja juga mencerminkan realiti sekarang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.