Lanjut Tempoh Diskaun Saman Trafik, Bukti Kerajaan Prihatin Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan pelanjutan tempoh pemberian diskaun saman trafik sehingga 31 Disember ini.

Katanya peluang ini juga secara tidak langsung menunjukkan pihak berkuasa termasuk kerajaan cakna dengan ekonomi rakyat yang masih terkesan ekoran daripada pandemik COVID-19.

“Tujuan saya minta ia dilanjutkan sebelum ini supaya pemberiannya adil kepada seluruh rakyat Malaysia tapi ada yang khuatir pemberian diskaun ini akan membuatkan pengguna jalan raya tidak serik melakukan kesalahan trafik.

“Namun kita menyokong objektifnya kali ini iaitu bagi mengurangkan beban rakyat semasa pandemik COVID-19 ini juga secara tidak langsung menunjukkan kerajaan sedar bahawa ekonomi rakyat masih terjejas. Itulah yang kita harapkan daripada kerajaan supaya realistik tentang situasi sebenar negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu pada Jumaat meluahkan rungutan rakyat mengenai portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman yang sepatutnya membolehkan bayaran saman dibuat secara dalam talian tidak dapat diakses.

Katanya, ini menyebabkan orang ramai terpaksa berpusu-pusu ke kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah kerana tawaran sah untuk tempoh empat hari sahaja.

Ekoran daripada itu PDRM melanjutkan tempoh pemberian diskaun saman trafik sehingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelanjutan itu bagi mengelakkan kesesakan ketika orang ramai membuat bayaran.

“Tawaran diskaun bagi kesalahan trafik melibatkan kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 akan dilanjutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember.

“Langkah ini untuk memberi peluang dan masa kepada orang ramai untuk membuat pembayaran,” katanya pada sidang media sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Ahad. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.