Diskaun Saman Trafik: Ramai Kecewa Sukar Buat Pembayaran, Ahmad Zahid Cadang Lanjutkan Tempoh

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Diskaun 80% pengurangan bayaran saman trafik sempena Sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia membuatkan rakyat berasa gembira.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga telah membuatkan ramai rakyat berasa lega dengan pengurangan diskaun yang diberikan.

“Tetapi apa yang terjadi sebaliknya apabila begitu banyak rungutan didengari berhubung pelaksanaannya. Portal dan aplikasi mudah alih MyBayar Saman yang sepatutnya membolehkan bayaran saman dibuat secara dalam talian tidak dapat diakses.

“Menyebabkan orang ramai terpaksa berpusu-pusu ke kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah kerana tawaran sah untuk tempoh empat hari sahaja.

“Bagaimanapun tidak semua berpeluang memasuki kaunter dan pulang dengan perasaan kecewa kerana jumlah di kaunter telah melebihi had,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahmad Zahid lagi, tawaran begini sudah menjadi suatu kemarahan pula dalam kalangan rakyat dan sepatutnya boleh dielakkan jika ada perancangan yang teratur.

“Memandangkan jumlah mereka yang mahu mendapatkan diskaun saman trafik terlalu ramai, tempoh masa untuk membuat bayaran wajar dilanjutkan.

“Ini demi berlaku adil dan mencapai objektif diskaun saman untuk mengurangkan beban rakyat semasa pandemik COVID-19,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.