Syukur ‘Trend’ Pengundi Muda Pilih BN Di PRN Melaka – Pemuda UMNO


KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersyukur trend (arah aliran) pengundi muda di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini berdasarkan data keputusan PRN negeri itu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Alhamdulillah, jika diteliti daripada analisis keputusan pengundian yang diterima daripada pihak SPR, trend pengundi-pengundi di semua saluran pengundi muda menyaksikan kemenangan di hampir semua kerusi yang dimenangi oleh BN.

“Malah, di kerusi-kerusi DUN yang diletakkan calon-calon Pemuda dan muka baharu orang muda, pola pengundian pengundi-pengundi muda amat ketara memberikan sokongan kepada BN.

“Terima kasih kepada pengundi-pengundi muda yang memberikan sokongan undi kepada BN,” katanya yang berkongsi statistik pengundi muda di PRN Melaka 2021 di Facebooknya.

Tambahnya lagi, Pemuda BN juga telah menubuhkan Sekretariat Pemantauan bagi memastikan semua wakil rakyat negeri itu melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

“Insya-Allah Pemuda BN telahpun menubuhkan Sekretariat Pemantauan yang akan memantau dan memastikan semua wakil rakyat yang dipilih melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka dengan dedikasi, tekun dan berintegriti,” katanya lagi.

Pada 20 Nov lalu, SPR mengesahkan keputusan rasmi PRN Melaka bahawa BN yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC menang 21 daripada 28 kerusi DUN dengan menewaskan pencabarnya, Perikatan Nasional (PN) yang mendapat dua kerusi dan lima kerusi dipertahankan Pakatan Harapan (PH).

Kemenangan selesa itu menyaksikan BN yang tampil dengan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.