PRN Sarawak: Antara BN, PN… Nampakkan Parti Mana Yang Lebih Jujur?

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Barisan Nasional (BN) kekal laksanakan janjinya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan tidak meletakkan calon bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Kata Pengarah Komunikasi BN itu, jelas menunjukkan BN menghormati GPS dan ia berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini berjanji tidak bertanding di PRN tersebut.

“Namun. Bersatu (PPBM) bertanding? Tapi atas tiket Bebas. Biarpun Pengerusi PN kata tidak akan bertanding di PRN Sarawak.

“Nampakkan parti mana lebih ikhlas dan jujur? Rakyat Sarawak pasti boleh menilainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Begitu juga Ahli Parlimen Lenggong itu berkata parti komponen PN iaitu Pas turut bertanding di PRN Sarawak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang juga Ahli Parlimen Saratok dari Bersatu bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian.

Begitu juga dilaporkan di DUN Belaga calonnya Siki Balarik; Bawang Assan, Ricky Enteri; Muara Tuang, Ismawi Muhammad dan sehingga kini mereka masih tidak dikenakan apa-apa tindakan disiplin dari partinya.

Justeru itu, Dr Shamsul turut mengimbau ketika PRN Sabah pada tahun lalu, sebagaimana diketahui umum Bersatu turut meletakkan calonnya di sebalik ‘bebas’ melawan BN walaupun telah ada persetujuan tidak akan berbuat sedemikian.

Terdahulu, BN telah memberikan komitmen kepada GPS tidak akan bertanding di dalam PRN Sarawak kerana yakin gabungan parti-parti negeri itu mampu memperolehi kepercayaan untuk terus mentadbir negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada Isnin lalu, pengundian awal pada 14 Dis manakala 18 Dis pula adalah hari pengundian PRN Sarawak. – UMNO ONLINE