MKT UMNO Bincang PRN Melaka Dan PAU 2021 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengadakan mesyuarat bulanannya pada malam ini.

Menurut beliau ianya merupakan mesyuarat bulanan dan antara lain akan membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini selain Perhimpunan Agung UMNO 2021.

“Mesyuarat MKT UMNO akan diadakan 8.30 mlm ini, Rabu  di PWTC. Ia merupakan mesyuarat bulanan untuk membincangkan antara lain tentang kejayaan dan pengajaran PRN Melaka dan Perhimpunan Agung UMNO PAU2021 yg akan diadakan pada 13-15 Januari 2022,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Pada PRN Melaka baru-baru ini, BN mendapat mandat yang besar daripada rakyat negeri berkenaan apabila memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 DUN yang dipertandingkan.

Manakala mesyuarat UMNO di peringkat cawangan seluruh negara telah pun selesai hujung November lalu dan pada minggu ini, mesyuarat di peringkat sayap bahagian dan 18 Disember depan pula Mesyuarat UMNO bahagian seluruh negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.