Mesyuarat UMNO Medan Perbincangan Terbaik… Platform Tumpu Agenda Parti – Raime


KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi melihat mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang akan diadakan pada minggu hadapan adalah satu medan terbaik untuk membincangkan pelbagai perkara termasuklah soal strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pada masa yang sama beliau turut melihat ianya juga ruang untuk membincangkan soal pengkukuhan parti serta tumpuan kepada agenda pembelaan rakyat yang hari ini rata-rata terkesan dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Kesiapsiagaan jentera di semua bahagian… di peringkat akar umbinya perlu bersedia dengan taktikalnya… dengan susun atur jenteranya supaya pada PRU akan datang kita akan dapat bukan sahaja memperbetulkan tetapi menutup lompong-lompong kesilapan serta kelemahan jentera kita.

“Pandangan akar umbi itu perlu sekali dalam keadaan sekarang ini dan di peringkat bahagian kita perlu mengisi dengan pelbagai pendekatan terbaik. UMNO parti yang mempunyai asas dan UMNO parti besar yang ada struktur tersendiri. Mungkin struktur atau taktikal cara sepuluh tahun yang lalu tidak selari dengan keadaan sekarang. Pola pengundi kita hari ini terlalu jauh padangannya hingga menyebabkan berlaku susana dan senario politik yang kita tidak boleh jangka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, dengan pola pengundian sedemikian rupa, tentunya mesyuarat di peringkat sayap dan juga bahagian nanti adalah ruang yang terbaik untuk bagi memikirkan kaedah untuk berdepan cabaran akan datang.

“Hari ini kalau kita lihat pengundi-pengundi… ramainya bukan soal parti lagi. Mereka melihat jika pemimpin itu bagus baru mereka akan menyokong dan bukan akan menyertai parti. Jadi kalau dilihat kekuatan ini mesti bermulanya daripada cawangan iaitu akar umbi.

“Jentera kita di bawah mantap barulah kita mengolah dengan mencari pengundi-pengundi lain berkempen memberi pandangan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah satu parti atau entiti yang boleh diyakini oleh rakyat. Rekod BN dan UMNO itu sendiri dari sudut kestabilan, kemakmuran negara dan Sabah juga adalah kebanyakannya bermula zaman BN.

“Apabila politik tidak menentu ekoran daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan sekarang bercampur-campur lagi maka ini menunjukkan rakyat inginkan kestabilan politik supaya kemakmuran itu dapat diteruskan. Maka di setiap bahagian, mesti bersedia dalam keadaan sekarang… kalau boleh sedia 100 peratus untuk memenangi kerusi dan mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini. Saya harap semangat UMNO ini akan sentiasa membara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.