Belajarlah Hormati UMNO, Kata Dr Shamsul Kepada KP Pas

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan UMNO menolak PPBM/Bersatu adalah pendirian parti yang telah diputuskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Namun katanya, Ketua Dewan Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari pula yang dilihat susah hati hingga meminta UMNO belajar menerima parti serpihan itu.

“Namun susah hati benar Ketua Pemuda Pas ni. Sampai minta UMNO belajar menerima Bersatu.

“Sekarang ni kita nak bagi tau dia belajarlah hormati UMNO. Itu sahaja,” tegas Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas di Facebooknya berkata UMNO perlu belajar menerima PPBM dan tidak sepatutnya menggunakan alasan parti itu pernah berada di dalam Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, pada Mac 2021, Perhimpunan Agung UMNO 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan ia merupakan suara akar umbi.

UMNO juga mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 dan berdiri teguh memperkasa BN. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.