UMNO Tak Mungkiri Piagam MN… Jangan Kelirukan Ummah – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menolak dakwaan bahawa UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dengan Pas dalam membentuk Muafakat Nasional (MN).

Dalam hal ini, beliau amat bersetuju 100 peratus dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan malah katanya inilah juga pendapat dan hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin seperti yang disiarkan beberapa kali di dalam media massa.

“Cuma Presiden Pas yang acapkali keluar kenyataan-kenyataan yang mengelirukan mengenai MN. Mungkin kerana kepentingannya dan kedudukannya sekarang sebagai anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan kepada UMNO-Online.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui kerana apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN yang dianggap sudah lari daripada perjanjian asal.

Ujar Mohd Yussof, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang itu telah mengelirukan.

“Kenyataan-kenyataan Presiden Pas tersebut juga bukan sahaja mengelirukan ummah tetapi juga ahli akar umbi Pas.

“Didoakan semoga Allah merahmati Piagam MN serta membuka pintu hati pemimpin-pemimpin Pas sapertimana yang diharapkan sangat-sangat oleh Mursyidul Am Pas dan ummah bagi menggerak dan merancakkan aktiviti-aktiviti MN (UMNO/Pas) di semua peringkat Negeri, Bahagian dan Cawangan.

“Semoga menjelangnya tahun baharu mulai 1 Januari 2022 akan datang, MN akan tetap kukuh dan dapat menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Insya-Allah,” katanya lagi yang juga Tokoh Melayu Terbilang 2017 merangkap Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).

Berikut antara kandungan piagam yang dimeterai pada 14 Sept 2019

PIAGAM MUAFAKAT NASIONAL

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

DENGAN IZIN ALLAH SWT, sesungguhnya UMNO DAN PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.