Bajet Pahang 2022: Terima Kasih Dari Anak Muda, Semoga Pahang Terus Makmur

KUALA LUMPUR, 6 Dis- Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menyambut baik beberapa insentif dan pelaksanaan program baru dengan penumpuan terhadap golongan belia dan anak muda yang telah diumum melalui pembentangan Bajet Negeri 2022 sebentar tadi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Kata Ketuanya Mohd Farid Mohd Nor, program-program berbentuk usaha meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan ini merupakan satu langkah yang tepat berdasarkan apa yang telah diluah dan dikongsi bersama dalam sesi libat urus dan jelajah bajet negeri yang telah diadakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Negeri dan juga pertubuhan-pertubuhan berasaskan orang muda seperti Majlis Belia Negeri, Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang, Badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan banyak pihak lagi.

“Kami juga gembira dengan beberapa pelaksanaan inisiatif lain yang secara tidak langsung walaupun tidak disebut melibatkan anak muda seperti pemberian kad diskaun Pahang Pride kepada Pelajar Sekolah, Hadiah Kelahiran kepada bayi yang bakal dilahirkan bermula tahun hadapan dalam bentuk simpanan bank dan peralatan penjagaan bayi (yang pastinya melibatkan ibu-bapa muda).

“Program-program berbentuk up-skilling dan re-skilling dalam bidang ICT melalui Pahang Skills, pelaksanaan Skim Tanah Warisan, dan projek Perumahan Makmur dan Prima Pahang yang pastinya melibatkan golongan muda sebagai sebahagian penerima manfaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, adalah diharapkan agar agensi-agensi kerajaan negeri yang telah diamanahkan untuk melaksanakan semua program yang telah dirancang ini dapat merealisasikan apa yang telah diumumkan dengan pantas dan teratur agar rakyat terutamanya golongan sasar dapat menikmati faedahnya.

“Didoakan jua agar proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar, kestabilan politik negeri dikekalkan dan perpaduan rakyat berbilang kaum terus utuh menjelang tahun 2022.

“Insya-Allah Pahang terus Makmur dan Maju,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.