ADUN Turun Padang… Kebajikan Rakyat Jadi Perhatian, Tinjau Secara Lebih Dekat

TANGGA BATU, 6 Dis – Nasib pelajar di SMA Jaim Al-Asyraf yang dijangkiti penyakit TIBI mendapat perhatian EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin yang turun sendiri ke sekolah terbabit bagi meninjau dan mendapat maklumat secara lebih dekat daripada pihak sekolah berkenaan.

Beliau yang baharu sahaja selesai menjalani kuarantin kendiri mengambil keputusan turun padang bertemu dengan pihak sekolah supaya segala maklumat yang lengkap dapat diambil untuk tindakan selanjutnya.

“Alhamdulillah selesai menjalani kuarantin kendiri, terima kasih buat semua yang mendoakan saya sekeluarga. Tengah hari semalam saya mendapat perkhabaran bahawa terdapat pelajar di SMA JAIM Al-Asyraf, Pulau Sebang yang dijangkiti penyakit TIBI.

“Bimbang dengan situasi tersebut, saya terus bergegas ke sekolah untuk mendengar sendiri tentang situasi yang berlaku bagi mengetahui segala langkah pencegahan dan tindakan selanjutnya yang telah dan akan dilakukan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi, semuanya berada dalam kawalan dan tindakan selanjutnya akan dilaksanakan.

“Alhamdulillah, selepas mendengar taklimat dan penerangan dari pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang diwakili En Azhar dan Pengetua Pn Azizah, saya yakin Insya Allah semuanya masih berada di dalam kawalan. Saya juga memohon kepada para ibubapa agar jangan panik dan marilah kita semua mendoakan yang terbaik buat anak-anak kita di sana. Allahu Musta’an,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.