Sabbaruddin Chik Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah Buat Ahli Keluarga

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga Tan Sri Sabbaruddin Chik yang meninggal dunia pada jam 7.45 malam tadi.

Dilaporkan, Allahyarham yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini setelah dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak Ahad lepas selepas dijangkiti COVID-19.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, Malaysia telah kehilangan seorang tokoh politik serta tokoh korporat yang disegani dan banyak jasanya kepada negara.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan yang soleh oleh Allah S.W.T.

“Semoga seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah serta cekal menghadapi kehilangan itu,” kata Ahmad Zahid dalam satu catatan di Facebook.

Ahmad Zahid juga mendoakan agar Allahyarham ditempatkan di dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, tempatkanlah arwah di kalangan orang-orang yang beriman.”

Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu dijangka dikebumikan esok, namun waktu dan lokasi masih belum dapat dimaklumkan.

Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari 1982 hingga 1999.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata Allahyarham adalah ‘sifu’ politik beliau sejak beliau dilantik Ketua Penerangan Bahagian Temerloh ketika berumur 27 tahun sehingga menjadi Setiausaha Politik Allahyarham pada 1995-1999 sewaktu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.