Ahmad Zahid Gesa KPM Bertindak Lebih Efisyen Pastikan Sekolah Tempat Selamat

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu bertindak lebih efisien memastikan sekolah tempat yang selamat untuk guru dan anak-anak.

Beliau berkata, insiden seramai 65 pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya disahkan dijangkiti COVID-19 sangat menyedihkan.

“Sebelum ini pun kita dimaklumkan beberapa sekolah di Johor terpaksa ditutup akibat jangkitan pandemik COVID-19.

“Memastikan tahap keselamatan murid dan pelajar pada situasi terbaik sepanjang mereka berada di sekolah untuk menimba ilmu,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap semoga tiada lagi didengari berita-berita menyayat hati tentang anak-anak yang bersekolah serta guru mereka dijangkiti wabak merbahaya.

“Saya dengan perasaan tulus ikhlas mendoakan agar semua murid, pelajar dan guru dijangkiti Covid-19 terbabit diberi kesembuhan segera,” katanya lagi.

Beliau turut menyertakan sepotong ayat dari Riwayat al-Tirmizi (3479) yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.