Cukup-cukuplah Tipu Rakyat, Bidas Isham Jalil Kepada PPBM
KUALA LUMPUR, 2 Dis – “Cukup-cukuplah tipu rakyat. Rakyat bukan bodoh. Dan rakyat tidak lupa.”
Demikian bidas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil terhadap Ketua Penerangan PPBM Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengambil kredit kononnya Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pertama memperkenalkan bantuan tunai kepada rakyat semasa menjadi Perdana Menteri Kelapan.
“PPBM kata Muhyiddin yang perkenal bantuan tunai kepada rakyat. Mereka (PPBM) ini mungkin baru keluar gua dan memang suka claim kredit perkara yang mereka tidak buat.
“Kepada Wan Saiful, yang perkenal bantuan tunai menyeluruh kepada rakyat adalah Najib (Datuk Seri Najib Razak – Perdana Menteri Keenam). Najib yang bagi BR1M kepada rakyat dulu.
“Masa itu kamu kutuk dia dan kamu tolak BR1M kerana kamu kata kamu tolak cash is king bagai,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelasnya lagi, selepas PPBM dan Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pakatan itu yang mengabaikan kebajikan rakyat dan menipu manifesto.
“Dan lepas kamu menang PRU-14 dengan PH, abah kamu Muhyiddin, atok kamu Mahathir (Mahathir Mohamad – Perdana Menteri Ketujuh) serta uncle kamu Guan Eng dan puak-puak kamu yang potong BR1M dan suruh rakyat ikat perut dan jangan harap bantuan kerajaan.
“Ini semua setelah puak kamu tipu manifesto yang kamu kata bukan kitab suci,” katanya lagi.
Begitu juga tempelaknya lagi mengenai keadaan negara ketika di bawah PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Dan selepas kamu (PPBM) memerintah 22 bulan dengan PH campur 17 bulan dengan PN, ekonomi negara jatuh teruk, hutang negara mencanak naik, banyak pelabur lari, harga barang melambung tinggi, dan ramai rakyat yang hilang kerja.
“Dan kini kamu ingin salahkan orang lain dan claim kredit pula,” ujarnya. – UMNO ONLINE