Tahniah, Terima Kasih Ahli UMNO … Akar Umbi Kekuatan Parti – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara yang telah melunaskan tanggungjawab melaksanakan mesyuarat peringkat Cawangan yang tarikhnya berakhir semalam.

Katanya, lebih 21,000 Cawangan UMNO di seluruh negara telah selesai mengadakan persidangan.

“UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia. Lebih 21,000 cawangan telah selesai adakan persidangan.

“Begitu juga Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan. Kekuatan akar umbi UMNO sebagai parti terbesar di negara ini terus mantap.

“Tahniah dan terima kasih semua yang telah laksana tanggungjawab dengan baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Dilaporkan, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada September lalu telah ditetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO dilaksana bagi tahun 2021 bermula 15 Okt dengan tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.

Mesyuarat Cawangan UMNO dilaksana dalam norma baharu iaitu boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing dengan kehadiran mesyuarat adalah secara korum minima ¼ daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada ¼ asalkan mengikut SOP yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing.

Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan pada 11 dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bakal berlangsung serentak pada 18 Disember 2021.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.