PH Masih Lagi ‘Mengata Orang Dia Lebih’ … BN Terbukti Pentadbir Terbaik – Onn Hafiz


KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pakatan Harapan (PH) telah terbukti gagal sebagai kerajaan namun sehingga ke hari ini masih juga mahu menidakkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai pentadbir terbaik kepada rakyat.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menempelak sikap PH yang sehingga kini masih juga ‘paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

“Hakikatnya kita hari ini berpegang kepada apa yang telah berlaku sebagaimana PH gagal mengotakan janji-janjinya apabila berkerajaan dan setelah jadi pembangkang pun masih mahu menidakkan kebolehan BN yang mentadbir lebih baik dari mereka malah dapat mengembalikan kestabilan rakyat,” katanya kepada UMNO Online

Beliau turut membidas pemimpin PH yang kerap kali menuding jari menyalahkan UMNO/BN termasuklah tuduhan pelacur politik.

“Bukankah kerajaan Negeri Melaka yang jatuh baru-baru ini disebabkan oleh pelacur-pelacur politik yang kemudiannya dipungut, diangkat, dijulang dan dijadikan calon-calon oleh PH?”

Tegas Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-layang, rakyat kini sudah serik dan mereka tidak mahu diperbodohkan lagi oleh PH.

“Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, bukan main lagi mereka menghasut rakyat, canang dalam ceramah, berpiket-piket dan menghasut anak-anak muda untuk pergi ke jalanan.

“Ahli Parlimen Simpang Renggam sebagai contoh, dulu sebelum menang rakyat dijanjikan tol Simpang Renggam percuma, tak payah bayar, kononnya selepas menang boleh tutup tapi apabila dah menang dia buat tak tahu saja.

“Sama juga dengan janji PTPTN, apabila dah menang dia kata kalau dah hutang maka kenalah bayar … rakyat di kawasan Simpang Renggam ditipu hidup-hidup.”

Dalam urusan pentadbiran, Onn Hafiz mengajak semua pihak melihat dan melakukan perbandingan bagaimana keadaan dalam pentadbiran Negeri Johor hari ini berbanding dengan zaman PH.

“Rata-rata rakyat hari ini bersyukur kerana telah hampir dua tahun mereka menderita terutamanya yang mengusahakan sawit, malah ramai rakyat Johor yang terlibat dengan sawit.

“Saya masih ingat lagi harga sawit jatuh serendah RM300 setan pada 2019 dan 2020 tapi hari ini syukur alhamdulillah berkat hubungan baik kerajaan dengan negara-negara pengimport maka harga sawit kini sudah cecah RM1,000 setan.

“Inilah hasil hasil kerajaan baharu yang dipertikaikan legitimasinya oleh pembangkang dari PH. Selama 22 bulan PH memerintah, rakyat tidak melihat demokrasi yang mengembang, yang mengembang hanyalah hipokrasi,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.