Memang Amat Wajar Projek HSR Dengan Singapura Diteruskan – Dr Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 30 Nov – Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan perbincangan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura HSR dihidupkan semula dan disambut baik oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa memang amat wajar projek HSR dengan Singapura diteruskan.

Ini kerana katanya, seluruh dunia bergerak ke arah mempertingkatkan tahap ‘connectivity’ dengan masing-masing berlumba-lumba menaik-taraf dan menambah sistem rel mereka terutamanya yang melibatkan ‘High Speed Rail’.

“Malangnya kerana dendam politik semuanya ini ditangguhkan pada zaman PH memerintah dan dibatalkan secara mutlak apabila ‘Abah Sayang Melaka’ menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Soalnya, siapa yang akan menanggung pampasan RM320 juta yang terpaksa dibayar kepada Singapura lantaran pembatalan projek HSR ini?

“Cuba bayangkan jika RM320 juta ini dimanfaatkan untuk intervensi Kerajaan untuk mengawal harga barang ketika ini?

“Berapa banyak subsidi boleh dimanfaatkan untuk memastikan rakyat yang berhadapan dengan harga barangan keperluan seperti sayuran, ayam dan lain-lain yang mencanak naik pasca PKP (lockdown) separuh masak?”

Terdahulu beliau menyorot bagaimana Arab Saudi dengan keretapi laju menyambung antara Mekah dan Madinah, Indonesia sambungkan lebuhraya sehingga ke Bandung selain China, Jepun, Korea semua berlumba-lumba untuk tambahkan lagi high speed rail mereka.

“Semua laporan analisa antarabangsa menyambut baik penyambungan ekonomi besar rantau Asia Tenggara iaitu Kuala Lumpur dan Singapura.

“Ratusan ribu peluang pekerjaan bakal dicipta, ekonomi hiliran akan berkembang pesat, destinasi pelancongan seperti Melaka yang merupakan salah satu stesyen transit akan menikmati limpahan aliran tunai daripada pelancong luar negara, dan kesan gandaan ekonomi akan menghasilkan ratusan billion sumber pendapatan dalam tempoh jangka panjang buat negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.