Kenaikan Harga Barang Makanan, Shahril Hamdan Tampil Dengan Video Inisiatif Penjelasan Untuk Rakyat


KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengambil inisiatif menghasilkan video membincangkan faktor-faktor utama harga barang makanan naik dan beberapa usaha yang mampu dilaksana untuk berikhtiar menstabilkan keadaan meskipun ini adalah fenomena global.

Jelas beliau, ini adalah fenomena global malah Food and Agriculture Organization telah merekodkan harga makanan seluruh dunia secara puratanya naik 30 peratus tahun ini.

“Secara jujurnya COVID-19 dan faktor-faktor iklim dan sebagainya telah menganggu sangat-sangat rantaian nilai global, bukan hanya untuk makanan, cuma kita nampak makanan sebab itu adalah perkara asas, ruji untuk kita.

“Dalam dunia globalisasi ini, terutamanya sebelum COVID, tak banyak negara pun yang ada 100 peratus food security, yang 100 peratus boleh bergantung kepada pengeluaran dalaman, memang masing-masing mengimport, apabila perkara ini diganggu, memang kesannya amat-amat besar,” katanya menerusi video pendek yang dimuatnaik menerusi laman sosialnya.

Dalam hal ini, beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, kerajaan wajar juga mendengar pandangan dari pihak lain berkaitan apa cara yang terbaik untuk menguruskan keadaan sekarang ini.

“Ini adalah masalah global, tapi macam mana pun, penyelesaian jangka panjang mestilah berkaitan food security, dan perkara ini telah pun disebut oleh ramai pemimpin-pemimpin.

“Tak boleh lagi kita bergantung harap terlalu besar pada import makanan ataupun barang input untuk buat makanan, ini akan memerlukan kita lihat teknologi, R&D, dasar-dasar yang telah dilaksanakan, dasar-dasar yang telah dirangka, dasar bioteknologi negara misalnya, itupun mesti kita lihat, ke arah membantu mencari penyelesaian yang tuntas,” katanya lagi.

Terdahulu beliau menerangkan bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebenarnya telah mengambil inisiatif berkaitan hal terbabit.

1. Baru baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan tambahan peruntukan RM62 juta kepada NAFAS melalui NAFAS tambahan kepada RM1.5b subsidi yang diumumkan di bawah bajet 2022. Ini adalah untuk bantu pesawah padi khususnya.

2. Kemudian dalam pengumuman sama, RM200 juta diperuntukkan untuk pinjaman kosong peratus faedah, enam bulan moratorium automatik melalui tekun dan agrobank. Ini untuk bantu bukan hanya pesawah padi tetapi peladang, petani secara keseluruhannya. Mungkin dalam masa yang akan datang diyakin kementerian-kementerian dan kerajaan sedang kaji subsidi bukan hanya diberi kepada pesawah tetapi juga kepada petani-petani makanan atau sayur-sayuran lain yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam senarai asal yang layak menerima subsidi.

3. Pemantauan dan penguatkuasaan khususnya oleh KPDNHEP. Walaupun semua faktor global, harga input naik, pengangkutan dan sebagainya, semua itu berlaku memang tak boleh dinafikan, tetapi ada juga data yang menunjukkan pertamanya bahawa harga di ladang, tidak naik sangat.
Naik tetapi tak naik mendadak sepertimana harga runcit.

4. Kawalan harga. Walaupun perkara ini mahal, kosnya sangat tinggi, tapi yakin sampai satu tahap, kerajaan akan terpaksa pertimbangkan ataupun baucar beli barangan runcit misalnya. Itulah pilihan yang ada bagi kerajaan sekarang. – UMNO Online