SUA UMNO Tekankan Kemahiran, Pendapatan, Kebajikan Pekerja Ditingkatkan

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menekankan bahawa kemahiran, pendapatan serta kebajikan perkerja mesti sentiasa ditingkatkan.

Ini kerana katanya, negara berdepan dengan keperluan mendesak agar kemahiran pekerja ditingkatkan.

“Keperluan mendesak agar kemahiran ditingkatkan oleh majikan dan kerajaan berusaha agar pekerja berpendapatan tinggi.

“Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga mesti tingkatkan kemahiran diri,” katanya.

Terdahulu beliau dimaklumkan bahawa 4.7 juta atau 31.6 peratus daripada 14.2 juta rakyat Malaysia yang bekerja adalah memiliki sijil, diploma dan ijazah.

Fakta tersebut beliau peroleh dalam jawapan berkaitan persoalan yang dilontarkannya di sidang Dewan Rakyat.

Kemudiannya beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menyampaikan ucapan di Seminar Kebangsaan MTUC 2021 berhubung dengan perkara yang sama.

“Saya juga maklumkan kepada MTUC yang kemahiran, pendapatan dan kebajikan pekerja mesti sentiasa ditingkatkan.

“Jika hanya 31.6 peratus drpd 14.2 juta pekerja yang ada sijil, diploma atau ijazah bererti 68.4 peratus hanya ada SPM atau kurang.

“Oleh itu mesti tingkatkan kemahiran 68.4 peratus itu agar gaji mereka boleh meningkat,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh berhubung dengan pindaan Akta Kerja demi meningkatkan kebajikan lebih 14 juta pekerja di Malaysia.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Senator Datuk Nelson Renganathan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.