Puteri UMNO Tawau Tekad Terus Semarakkan Perjuangan Parti Demi Agama, Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Suasana politik tempatan termasuklah pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menjadi pemangkin semangat perjuangan Puteri UMNO Bahagian Tawau untuk terus tekad dalam berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

Ketuanya, Julisah Mohamad Isah berkata ahli-ahli Puteri UMNO di Bahagian Tawau terus bersemangat menyemarakkan perjuangan UMNO termasuklah melaksanakan mesyuarat peringkat Cawangan yang telah berjaya dilaksanakan.

“Tanggungjawab ini dibuat dengan telus secara muafakat berpaksikan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti meliputi keseluruhan keanggotaan parti di akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pergerakan Puteri UMNO Tawau telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan terperinci bagi memastikan pelaksanaan gerak kerja dalam parti dibuat dengan lancar.

“Antara lain kami membincangkan beberapa isu-isu penting termasuk perancangan Mesyuarat Perwakilan yang bakal diadakan tidak sampai sebulan dari sekarang,” katanya.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada September lalu telah menetapkan bahawa tarikh persidangan cawangan diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November ini, manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan pada 11 Disember dan 12 Disember 2021 serta Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 18 Disember 2021.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dijadualkan akan diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.