Laksanalah Tugas Yang Diamanahkan Dengan Sebaiknya – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap seluruh barisan Exco  kerajaan negeri Melaka yang baru sahaja dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah kemenangan Barisan Nasional (BN) yang mendapat kepercayaan rakyat Melaka 2/3 bukanlah kemenangan untuk dibanggakan tetapi ianya adalah satu amanah.

“Selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan BN menang lebih daripada 2/3 kerusi. Selesai perlantikan Ketua Menteri dan  Exco. Kita menang. Bukan untuk berbangga. Terima dengan penuh syukur. Ucapan terima kasih kepada rakyat.

“Berkhidmat untuk rakyat itu adalah kekuatan kita. UMNO tetap bersama rakyat. Itu pedoman kita. Terus mara demi Malaysia,” katanya menerusi catatan di facebook.

Jumaat lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan sebelas portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.

Portfolio itu didahului dengan Sulaiman yang memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memegang portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

Diikuti tujuh lagi muka baharu yang memegang jawatan Exco di negeri ini serta dua muka lama iaitu Datuk Rahmad Mariman dan Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Antara muka baharu yang ditampilkan ialah Datuk Zaidi Attan yang akan memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar; Datuk Rais Yasin (Pendidikan dan Teknologi); Dr Muhamad Akmal Saleh (Kesihatan dan Antidadah) serta Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Industri Asas Tani).

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin pula dilantik Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan; Ngwe Hee Sem (Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna) serta V P Shanmugam (Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam pada itu Sulaiman berkata, beliau yakin kesemua barisan Exco yang dilantik mampu untuk menggalas tugas yang diamanahkan.

“Sudah tentu mereka yang dilantik mampu menggalas tanggungjawab dan menggerakkan usaha merealisasikan akur janji dan Manifesto Barisan Nasional (BN) ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang diumumkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov lalu,” katanya di dalam sidang media pengumuman pelantikan Exco Kerajaan Negeri Melaka di Seri Negeri, di sini, Jumaat. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.