Semoga Laksanakan Amanah Dengan Penuh Integriti

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada wakil Pemuda yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Dr Asyraf berharap semoga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin dan ADUN Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh dapat melaksanakan amanah dengan penuh berintegriti.

“Tahniah buat kedua-dua sahabat saya Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia YB (Yang Berhormat) Datuk Rais Yasin dan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka YB Dr Dr Akmal Saleh atas perlantikan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

“Sebagaimana yang selalu diperingatkan amanah ini bukan satu bentuk ‘Tasyrif’ atau kemuliaan untuk dibanggakan, tetapi sebaliknya ia merupakan Taklif atau beban tanggungjawab yang akan diperhitungkan oleh Allah.

“Moga dapat meneruskan Tradisi UMNO membela rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya kata Dr Asyraf, beliau dan rakan-rakan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan sentiasa iringi dengan doa agar segalanya dipermudahkanNya jua.

Rais dilantik sebagai Exco Pendidikan dan Teknologi manakala Dr Akmal pula memegang portfolio Kesihatan dan Antidadah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.