Walau BN Menang Selesa, UMNO Sentiasa Terbuka Kerjasama Demi Manfaat Ummah – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa walaupun Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan majoriti 2/3 iaitu 21 daripada 28 DUN, kepimpinan UMNO masih bersifat terbuka dalam muafakat bersama parti lain khususnya Pas.

Beliau berkata demikian ekoran ramai pemimpin-pemimpin utama Pas yang menghubunginya menyarankan perundingan Muafakat Nasional diteruskan.

“Insya-Allah, UMNO sentiasa terbuka dalam apa jua usaha untuk berunding bagi maksud kerjasama yang memberikan manfaat kepada ummah.

“Walaupun BN menang besar dengan majoriti 2/3 iaitu 21 daripada 28 DUN, kepimpinan UMNO masih bersifat terbuka, jauh sekali untuk berasa selesa mahupun sombong dengan kemenangan yang ditakdirkan dalam PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, sebagaimana sebelum PRN Melaka, dua kali beliau bersama-sama dengan kepimpinan tertinggi UMNO mengadakan pertemuan dengan delegasi pimpinan Pas termasuk yang diketuai Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Waktu itu lagi kami membawa mandat Majlis Kerja Tertinggi untuk menawarkan agar Pas dapat bekerjasama dengan BN atas logo Pas. Kami tidak sesekali meminta Pas bertanding atas logo BN tetapi atas logo keramat ‘bulan’ yang menjadi kebanggaan Pas.

“Bahkan kepimpinan turut menawarkan tiga kerusi DUN yang berpotensi menang kepada Pas termasuk kerusi Duyung kawasan Pesuruhjaya Negeri Datuk Kamaruddin sendiri.

“Malangnya Pas lebih terdorong untuk menerima tawaran PPBM untuk bertanding di kerusi-kerusi yang UMNO menang dalam PRU lepas dengan menggunakan logo PN. Walaupun berulang kali sebelum ini, Timbalan Presiden PAS memberikan jaminan tidak akan ganggu kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh UMNO dalam PRU-14,” katanya lagi. – UMNO Online