PRN Melaka Referendum Rakyat… UMNO/BN Bukan Sekadar Menang Tapi Sokongan Untuk Kestabilan

Kejayaan menganjurkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam persekitaran norma baharu bermula pada hari penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian pada tarikh 20 November 2021 merupakan satu indikator penting yang boleh berperanan sebagai simulator kepada pilihan raya negeri Sarawak dan PRU 15 yang akan datang.

Pelbagai pihak sama ada daripada institusi kerajaan mahupun parti-parti politik perlu menilai secara serius impak sosial, keselamatan kesihatan dan keberkesanan pelaksanaan pengurusan PRN lebih efisien.

Oleh demikian, keputusan kerajaan yang diterajui oleh YAB Dato Seri Ismail Sabri mewujudkan persekitaran pilihan raya norma baharu yang masih mendokong elemen-elemen demokrasi dan tidak menghalang partisipasi rakyat menerusi pendekatan baharu dalam aktiviti berpolitik sepanjang tempoh PRN Melaka adalah tepat.

Malah tindakan beliau dan pasukan Keluarga Pentadbiran Putrajaya dalam mengolah pendekatan baru baru pilihan raya telah mendorong kejayaan besar UMNO-BN di Melaka bukan sekadar menang tetapi berjaya mewujudkan kestabilan politik dengan majoriti lebih 2/3 kerusi di DUN Melaka.

Keputusan PRN ini merupakan referendum jelas daripada rakyat dan pengundi yang bersetuju dengan langkah Perdana Menteri dan pentadbiran kerajaan Persekutuan yang mengetatkan SOP demi keselamatan rakyat Melaka sekaligus diterjemahkan menerusi kemenangan besar dalam PRN tersebut.

Kini, di peringkat awalnya tema manifesto BN iaitu kestabilan untuk kemakmuran telah berjaya dicapai dan perlu diperluaskan ke dalam pilihan raya negeri lain dan peringkat Persekutuan sebagai usaha dan ikhtiar daripada pihak kerajaan bagi memastikan keselamatan kesihatan rakyat dipelihara dan pada masa yang sama amalan demokrasi negara terus disuburkan dalam konteks norma baharu.

Namun kejayaan besar yang diperolehi UMNO-BN di Melaka tidak boleh dijadikan indikator utama dalam megeneralisasikan bahawa PRU-15 boleh di adakan dengan segera dan pada bila-bila masa disebabkan oleh beberapa faktor iaitu peningkatan peratusan undi yang diterima oleh BN (38.39) adalah rendah dan hanya berbeza 2.57% sahaja dengan PH (35.82).

Perbezaan peratusan ini sangat kecil dan memerlukan kerja-kerja politik yang lebih agresif dan gigih jika PRU-15 ingin dijalankan dalam tempoh terdekat. Jentera pilihan raya UMNO-BN baru sahaja selesai bertempur di Melaka, sudah pasti lebih masa perlu diperuntukkan bagi memastikan tenaga dan strategi jentera dapat dikerahkan secara maksimum serta berkualti untuk memenangi PRU-15 dengan lebih berjaya dan bergaya.

Di samping itu, faktor tiga penjuru yang berlaku di PRN Melaka merupakan faktor sampingan kepada kemenangan UMN-BN, terdapat faktor-fkator utama lain yang perlu dicontohi dan dibawa meluas ke negeri-negeri lain dan Persekutuan menjelang PRU-15 seperti penyelesaian isu-isu tempatan, kewibawaan calon-calon dan pemimpin-pemimpin yang akan mewakili UMNO-BN dalam pilihan raya dan manifesto yang realistik kepada politik lokal.

Kepimpinan parti dan gabungan BN perlu terus berpegang kepada pendirian untuk mengambil iktibar daripada PRU-14 lalu untuk membina laluan baru perjuangan politik agar tidak terus menerus terjerumus dan berhadapan dengan kekecewaan sekali lagi.
Keyakinan politik bahawa impak pertandingan tiga penjuru dalam PRU-14 lalu telah lapuk dan tidak relevan adalah satu ke
percayaan politik yang bahaya kepada parti dan gabungan BN.

Meskipun BN menang besar dengan pertandingan 3 penjuru di Melaka, budaya politik Melaka berbeza dengan politik negeri lain dan peringkat Persekutuan.

Hatta jika individu luar dari Melaka yang tidak memahami dari segi loghat bahasa dan gurau rakyat Melaka boleh menimbulkan kekeliruan, apatah lagi mentafsir budaya politik rakyat Melaka juga perlu dihayati oleh semua pihak dan tidak boleh diterjemahkan sebagai denyut nadi politik semasa seluruh rakyat Malaysia.

Secara keseluruhannya, parti dan BN perlu mengambil langkah berhati hati dalam menyediakan persekitaran politik yang menguntungkan masa depan parti.

Keselamatan kesihatan rakyat adalah keutamaan kerajaan,tetapi pada masa yang sama strategi norma baharu mampu memberi impak kepada kejayaan UMNO-BN untuk terus kembali menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dalam setiap pilihan raya.

Dr. Mohammad Tawfik Yaakub
Penganalisis Politik Tempatan
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik & Pentadbiran Universiti Malaya

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.