Terima Kasih Keluarga Malaysia Melaka Pilih BN… Kebajikan, Kemajuan Ekonomi Agenda Utama – PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada ‘Keluarga Malaysia’ di Melaka kerana memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan baharu, semalam.

Jelasnya, inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana semua menuju ke destinasi sama untuk membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar.

“Insya-Allah kebajikan dan kemajuan ekonomi negeri Melaka pastinya akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya, hari ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Barisan Nasional dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden-presiden parti komponen BN dan seluruh jentera parti yang menggembleng tenaga membantu memenangkan BN di Melaka.

“Penghargaan juga buat mantan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.

“Terima kasih Keluarga Melaka,” katanya lagi

BN memperoleh mandat untuk mentadbir kerajaan Melaka setelah memenangi lebih dua pertiga kerusi DUN. Gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.