Kemenangan BN Bukti Rakyat Melaka Pilih Kestabilan – Sharkar

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Melaka kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu membuktikan mereka memilih kestabilan demi kemakmuran.

Menurut beliau kemenangan memperoleh 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN membuktikan rakyat setia menyokong BN kerana bukti sedia ada membawa kemajuan dan pembangunan di negeri Melaka.

“Tahniah kepada BN kerana memperoleh kemenangan besar dengan majoriti 2/3 dalam PRN Melaka berakhir semalam.

“Terima kasih kepada rakyat di negeri Melaka kerana membuat pilihan tepat dan kita percaya, ini kerana mereka mahukan kesinambungan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tentunya kata beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, kemenangan PRN Melaka kali ini memberi semangat kepada BN dan UMNO untuk bekerja lebih kuat serta memastikan parti itu terus memberi khidmat kepada rakyat di Melaka dan negara ini.

“Kemenangan tersebut juga bukti rakyat Melaka telah membuat pilihan tepat dan menghantar mesej jelas dengan memilih kestabilan demi kemakmuran. Kepada wakil rakyat baharu yang dipilih, laksana tanggungjawab yang diamanahkan rakyat itu dengan baik.

“Apa yang penting, tunaikan segala ikrar atau janji yang laungkan sepanjang tempoh kempen. Ia sebagai bukti bahawa BN masih pentadbir terbaik untuk semua. Tahniah juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang telah pun mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

“Tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada semua wakil rakyat yang dipilih. Hanya BN mampu membawa Melaka dan negara tercinta ini kepada matlamat kestabilan demi kemakmuran,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.