Puteri UMNO Seru Pengundi Pilih BN, Tolak PH Dan PN… Jangan Lupa Janji-janji Tak Tertunai

MELAKA, 19 Nov – Apakah lupa janji-janji Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan 22 bulan tetapi gagal menunaikannya atau mahu percaya kepada Perikatan Nasional (PN) yang dulunya adalah sebahagian daripada PH?

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan ketika berucap melalui segmen Pentas Anak Muda yang berlangsung malam tadi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jelasnya semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), Negeri Melaka mengecapi pelbagai kemajuan tetapi terhenti apabila beralih kepada PH.

“Dulu sewaktu BN menjadi kerajaan banyak perubahan dan kemajuan dibuat di Melaka maka janganlah para pengundi khususnya anak muda tertipu lagi kerana kesannya kita akan kembali berpatah ke belakang dan bukannya maju ke hadapan,” katanya.

Tegas beliau yang menyeru para pengundi untuk tekad dalam memilih BN kerana menjanjikan kestabilan demi kemakmuran.

“Pembangunan perlukan perancangan dan perancangan sebaik manapun tidak akan dapat dilaksanakan jika kerajaan tak stabil. Kalau kerajaan berubah dalam setahun dua, maka apa pun tak ada. Sebab itulah BN menyajikan kestabilan demi kemakmuran,” katanya lagi.

Segmen Pentas Anak Muda yang disiarkan semalam boleh diikuti menerusi laman Facebook dan Youtube UMNO Online.

Terdahulu, bermula 8 Nov lepas tempoh berkempen berlangsung selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada esok, Sabtu.

“PRN dilaksana berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Jumlah pengundi berdaftar pada PRN Melaka ke-15 ini ialah seramai 476,037 orang pengundi biasa yang akan mengundi esok, seramai 11,557 orang pengundi awal yang telah mengundi pada 16 Nov lalu, manakala 7,601 orang mengundi secara pos. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.