Melaka Maju Kesannya Hingga Ke Hari ini, Kecemerlangan Kepimpinan BN

KOTA MELAKA, 19 Nov – Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan menyifatkan Melaka berjaya mencapai kemajuan dan kemakmuran kerana sebelum ini ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana BN dibarisi oleh kepimpinan yang berkredibiliti dan berpengalaman malah berjaya mencorak negeri ini sehingga kesannya dapat dirasai generasi baharu.

“Saya memang setuju BN sebenarnya selama ini membantu meningkatkan ekonomi bukan sahaja di negeri Melaka malah seluruh negara. Zaman Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, beliau transform Melaka bagi satu permulaan yang bagus untuk kita maju ke hadapan.

“Seterusnya di bawah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Ketua Menteri sebelum ini beliau melonjakkan lagi sehingga negeri ini mencapai status negeri maju.

“Ini antara pencapaian yang saya rasa susah hendak dilakukan oleh orang lain pada saya pencapaian BN,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jelas Ronald lagi, beliau berharap sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini rakyat perlu mengambil iktibar dengan pengalaman terdahulu dan memikirkan pembangunan negeri untuk jangka masa panjang kerana kesannya kelak dapat dirasai oleh generasi hadapan.

Tambah beliau, sebagai rakyat yang bertanggungjawab mereka tidak seharus terlalu mempercayai segala maklumat yang diterima apatah lagi dengan pengaruh media sosial ketika ini.

“Saya menyeru supaya jangan kita senang terikut-ikut dengan apa yang kita tengok di media sosial. Pada saya kita kena selalu bertanya adakah itu benar, mitos atau fitnah bertujuan merosakkan naluri fikiran kita semata-mata.

“Kita diberikan akal dan latar belakang pendidikan yang tinggi untuk menilai jangan sesekali kita begitu senang untuk dicuci pemikiran kita.

“Itu harapan saya, memang sejujurnya menyokong BN sebagai diri saya tapi sebagai presiden ini saya minta ahli-ahli atau semua orang menggunakan akal budi yang kita sudah ada untuk menilai sendiri sebelum memilih parti. Saya harap rakyat buat keputusan dengan memilih parti yang boleh membawa negeri ini ke anjakan yang seterusnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.