Dengan UMNO Nak Sama Agihan… Tapi Dalam PN, PPBM Tak Nak Pula Sama Rata

MELAKA, 19 Nov – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan di dalam perundingan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, PPBM meletakkan syarat mahu pengagihan jumlah kerusi yang hampir sama.

Tetapi katanya sebaliknya berlaku di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini apabila PPBM bertanding hampir dua kali ganda dan tidak memakai formula sama agihan dengan rakan-rakan parti Perikatan Nasional (PN).

“UMNO adalah parti yang besar dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14). Walaupun UMNO ditekan dengan pelbagai cabaran, fitnah dan tuduhan, PRU14 UMNO memenangi 13 kerusi. Bersatu (PPBM) menang dua kerusi, PAS yang bertanding banyak kerusi langsung tidak menang satu kerusi malah ramai yang hilang wang deposit…jadi bagaimana untuk kita bahagi kerusi dengan sama rata dengan cara begitu?

“Sepatutnya rundingan kerusi ini dibuat mengikut kekuatan parti masing-masing di kerusi tertentu. Kalau kita lihat sekarang ini Bersatu bertanding 15 kerusi, PAS hanya diberikan lapan kerusi bermakna Bersatu bertanding dua kali ganda banyak dari PAS. Jadi tidak ada juga pengagihan kerusi sama rata.

“Kenapa dengan UMNO syarat yang dikenakan ialah UMNO dan PN mesti bertanding hampir sama rata walaupun semua orang mengakui UMNO mempunyai kekuatan jentera, kekuatan keahlian jauh lebih besar daripada parti-parti lain,” katanya dalam satu video penjelasan berhubung kenyataan mengelirukan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai rundingan kerusi UMNO/PPBM/PAS dan kononnya UMNO engkar kepada persetujuan agihan kerusi.

Tambah Abdul Rahman lagi, UMNO berpandangan dan meletakkan syarat bahawa jika hendak bertanding perlulah ada asas yang kukuh.

“Bukan hanya mengambil angka kemudian dibahagi dua dan membuat agihan sebegitu rupa. Itu agihan yang tidak munasabah, tidak adil kepada UMNO seolah-olah syarat-syarat yang dikenakan itu ingin meletakkan UMNO seperti dihukum untuk menerima satu syarat yang tidak munasabah,” katanya yang terlibat di dalam sesi perundingan tersebut.


Antara syarat perundingan, PPBM menetapkan UMNO tidak boleh dibenarkan bertanding di dalam sejumlah kerusi yang membolehkan UMNO membentuk kerajaan secara bersendirian dan juga mahu menentukan calon Ketua Menteri daripada UMNO.

Seterusnya ulas Abdul Rahman, persetujuan tidak dapat dicapai kerana pada rundingan kali kedua wakil daripada PPBM dan juga PAS telah meninggalkan bilik mesyuarat sebelum mesyuarat habis.

“Jadi, tidak ada persetujuan yang dicapai sepertimana yang didakwa oleh Menteri Besar Terengganu. UMNO berpandangan agihan kerusi mestilah adil, strategik dan berdasarkan kekuatan parti masing-masing dan bukan dengan syarat yang ketat.

“Wakil-wakil Bersatu dan PAS telah meninggalkan bilik mesyuarat lebih awal tanpa ada persetujuan walaupun mesyuarat masih berlangsung dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri…tidak ada penghormatan kepada Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat,” ujarnya.

Begitu juga Abdul Rahman melihat ada sedikit perbezaan pandangan di antara pemimpin-pemimpin PN.

“Timbalan Presiden Bersatu kata UMNO tidak boleh bertanding lebih banyak kerusi kerana takut kekuatan UMNO itu boleh membentuk kerajaan bersendirian yang secara langsung beliau mengiktiraf UMNO mempunyai kekuatan di negeri Melaka.

“Tetapi Naib Presiden Bersatu mengatakan bahawa UMNO mesti sedar diri, sudah lemah. Jadi, kedua-dua pemimpin ini mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kekuatan UMNO di negeri Melaka,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.