Berilah Kembali Peluang, Undilah BN… Tidak Janji Bulan Bintang Tapi Dah Ada ‘Track Record’ – Asyraf Wajdi

MELAKA, 19 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merayu dan berharap agar rakyat Negeri Melaka khususnya para pengundi memberikan ruang dan peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) terbabit yang hari pengundiaannya berlangsung esok.

Katanya, BN tidak menjanjikan bulan dan bintang tapi dengan manifesto dan’ track record’ yang ada rakyat boleh menilai berlandaskan pentadbiran dalam negara yang panjang berbanding parti-parti lain.

“BN dah ada sejarah pembangunan dan perjuangan yang panjang malah tahu bagaimana untuk mentadbir atau nak membangunkan negeri.

“Berilah peluang di bawah kepimpinan BN dan insya-Allah sekiranya BN mendapat mandat menjadi kerajaan dengan mewujudkan sebuah pentadbiran yang stabil maka ketua menterinya adalah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Justeru janganlah ada yang terpengaruh dengan kata-kata yang cuba mengganggu gugat keputusan yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana UMNO dan BN mahu meneruskan khidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui segmen Pentas Anak Muda yang berlangsung malam tadi dan boleh diikuti menerusi siaran dalam laman Facebook dan Youtube UMNO Online.

Dalam masa yang sama, Dr Asyraf Wajdi menegaskan bahawa selari dengan falsafah perjuangan parti, maka BN akan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“BN mampu memberikan khidmat yang terbaik kerana falsafah perjuangan UMNO/BN berkhidmat kepada rakyat. Calon-calon yang ada ini ini mahukan terus berbakti dan meneruskan kerja-kerja membela masyarakat,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.